MAC 2022

Raja Permaisuri Agong Hadiri Majlis Santapan Malam


KUCHING: Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. 

Sepanjang majlis berlangsung, baginda dipersembahkan dengan pelbagai persembahan kesenian dan kebudayaan masyarakat Sarawak seperti Tarian Keloyok, persembahan gambus dan sape, persembahan Rampaian Etnik Kreasi (Kedayan, Tagal, Kiput, Bisaya dan Lun Bawang), lagu-lagu rakyat, teater muzikal Dang Esah Tandang Sari, Tarian Zapin Sebat serta persembahan nopeng sebagai persembahan finale. 

Hadir sama, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, isteri Timbalan Premier Sarawak Datin Amar Doreen Mayang, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Dato Sri Fatimah Abdullah serta tetamu kenamaan yang lain. 

Terdahulu, baginda turut berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Galeri Songket dan Keringkam di Galeri Songket dan Keringkam. 

Baginda dijangka meneruskan lawatan rasmi esok hari dengan melawat Bengkel Tenunan Songket di Kompleks Penjara Puncak Borneo dan Muzium Budaya Borneo. 

Raja Permaisuri Agong tiba untuk lawatan rasmi ke Sarawak bermula hari ini dan akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur 30 Mac ini.

Foto: Penerangan

Sumber dari : Jiwa Bakti